FOKUS KARANGAN: PUNCA/FAKTOR/PENYEBAB
FORMAT KARANGAN: PERBINCANGAN/PENDAPAT
[Ayat Rangsangan] Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pelajaran, kes ponteng sekolah tercatat bilangan yang tertinggi berbanding dengan kes-kes disiplin yang lain. [Ayat Huraian] Menurut beliau, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah Malaysia yang mendadak menimbulkan tanda tanya kepada pelbagai pihak mengenai pokok pangkal fenomena ini. Siapakah yang harus bertanggungjawab dalam hal ini? Apakah kepincangan sistem pendidikan kita? Adakah pihak ibu bapa lepas tangan dalam soal pendidikan? Atau, adakah gejala ini berpangkal daripada pengaruh rakan sebaya? Gejala ini dipandang berat kerana perlakuan tersebut memungkinkan seseorang pelajar hilang sifat bertanggungjawab, akan ketinggalan dalam pelajaran, dan yang paling dikhuatiri mereka akan melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan sosial yang negatif. [Ayat Arahan] Persoalannya, apakah penentu-penentu perdana yang menyumbang kepada gejala ponteng sekolah atau bolos yang kian meruncing dalam kalangan pelajar kita ini?
Faktor 1: Senario persekitaran rumah tangga yang tidak kondusif
[Ayat Topik] Antara penyumbang utama kepada gejala ponteng sekolah ialah senario persekitaran rumah tangga yang tidak kondusif. [Ayat Huraian] Rumah tangga yang porak-peranda ataupun institusi keluarga yang retak gara-gara perceraian ataupun tiadanya persefahaman antara ibu dengan bapa menyebabkan pelajaran anak terabai. Oleh sebab konflik dan tekanan jiwa, mereka langsung tidak mengambil berat tentang pelajaran anak mereka. Implikasinya, baik kerja-kerja rumah mahupun ulang kaji pelajaran tidak dipedulikan sehingga tercicir dalam pelajaran. Apabila terkandas dalam pelajaran, mereka akan memencilkan diri dan berjinak-jinak dengan rakan sebaya yang menghadapi masalah yang sama. [Ayat Contoh]Menurut Dr. Ting Chew Peh, segelintir pelajar yang membolos sekolah berkait rapat dengan keruntuhan rumah tangga. Beliau mengatakan bahawa kepincangan keluarga mempengaruhi pencapaian akademik kerana ibu bapa bersikap acuh tak acuh terhadap prestasi akademik anak-anak mereka. Implikasinya, kecenderungan mereka terhadap pelajaran terbantut sekali gus mencari jalan keluar untuk menangani kemelut itu dengan ponteng sekolah. [Ayat Penyimpul]Pendek kata, kepincangan rumah tangga menjejaskan akademik anak sekali gus mendorong mereka ponteng sekolah.
[Ayat Topik] Pengaruh rakan sebaya yang menyumbang kepada berleluasnya gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar tidak dapat dinafikan. [Ayat Huraian] Kawan-kawan menjadi orang yang rapat dengan mereka; kawan yang baik boleh membimbing mereka ke arah kebaikan, namun jika tersilap langkah dalam memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang buruk, terutamanya ponteng sekolah. Hal ini demikian kerana remaja yang umur setahun jagung, darah setampuk pinang terlalu mudah mempercayai rakan sebaya dan tidak dapat membezakan intan daripada kaca. [Ayat Contoh] Menurut Prof. Dr. Fatimah Yusoff, seandainya mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan kononnya lebih memahami perasaan mereka, dengan mudah mereka mengikut mereka ponteng sekolah dan melepak di pusat beli-belah dan sebagainya. Mereka terlupa bahawa “kawan juga kadangkala boleh makan kawan”. [Ayat Penyimpul] Tegasnya, pengaruh rakan sebaya merupakan pokok pangkal berleluasanya gejala ponteng sekolah.
[Ayat Topik] Selain masalah peribadi dan pengaruh rakan sebaya, kepincangan sistem pendidikan turut mencetuskan masalah ponteng sekolah. [Ayat Huraian] Dalam konteks ini, sistem pendidikan kita yang terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan para pelajar, khususnya pelajar lembap dalam pelajaran, berasa tertekan. [Ayat Contoh] Misalnya, isi kandungan sukatan pelajaran, iaitu mata pelajaran yang ‘mendesak’ pelajar supaya menghafaz fakta-fakta sejarah, geografi, pendidikan moral dan sebagainya. Mereka pun hilang kecenderungan untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Implikasinya, mereka yang lemah semangat dan keimanan mudah berputus asa akibat tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih tekun dan cerdas. Buktinya, kes ponteng banyak membabitkan pelajar yang lemah berbanding dengan pelajar yang cerdas. Mereka pun bertindak untuk ponteng sekolah bersama-sama dengan rakan kerana tertinggal atau tercicir dalam bidang akademik. [Ayat Penyimpul] Dengan erti kata lain, gejala ponteng sekolah bertitik tolak daripada kelemahan sistem pendidikan kita.
[Ayat Kesimpulan] Intihanya, masalah ponteng sekolah disebabkan oleh faktor keluarga, rakan sebaya, dan sekolah. Sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani masalah ini. [Ayat Cadangan] Dalam hal ini, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta Unit Bimbingan dan Kaunseling haruslah memainkan peranan yang penting dalam usaha mencelikkan mata para pelajar bahawa gejala ponteng sekolah merupakan titik tolak kepada gejala-gejala sosial seperti merokok, arak, seks bebas, laku musnah, dadah, budaya samseng, dan sebagainya. Pihak kerajaan haruslah merombak sistem pendidikan, bukannya memansuhkan peperiksaan awam, agar tidak terlalu ‘mendera’ para pelajar dari segi mental dan emosi. [Ayat Harapan] Dengan wujudnya kerjasama ini, bukan sahaja kita dapat mencapai ‘ponteng sifar’ bahkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat dilahirkan agar dapat bersaing di persada antarabangsa.
Hak Cipta Terpelihara www.karanganspm.com

0 Comments:
Post a Comment